Thursday 26 July 2007

Saya sedang menuliskan jalan cerita itu.

Bualan saya pagi tadi dengan teman sejati cukup bermakna dalam mengguriskan jalan cerita yang akan dibuat nanti. Percakapan itu terhasil setelah baru dapat merasakan apa yang akan di guriskan itu. Ilham itu terhasil setelah adanya tomakninah dalam perjalanan sekarang ini.

Tomakninah itu perlu untuk menarik nafas baru dan cuba melihat, apa sebenarnya sedang berlaku di sini. Lantas teman sejati menyebut, memang kita memerlukan tomakninah itu. Berundur ke belakang sekejap dan lihat, apa sebenarnya. Dan kemudian mengadapnya semula.

Jika tidak keserabutan itu sentiasa mengalir tanpa henti dan sehingga tidak tahu hujung pangkalnya. Ke mana hendak di letak kenyataan ini, di peringkat mana perkataan ini di sebut, apa yang menyokong perkataan tersebut dan apa hasilnya dari perkataan tersebut.

Malah saya ditanya, adakah mereka akan tanya, kenapa kenyataan itu di sebut di situ dan tidak di sini? Maka saya katakan, saya rasa mereka tidak akan tanya dan peduli kenapa sebutan itu di sebut di situ dan tidak di sini. Tidak, mereka tidak akan bertanya.

Sedangkan mereka yang bernama dua Andrew yang telah dari awal bersamapun tidak dapat menyelami dan mempersoalkan kenapa dan mengapa cakap itu di situ dan di sini, masakan pula pembaca yang mungkin membacanya dan melihatnya dalam tempoh dua tiga minggu. Tentu sekali mereka tidak pedulikan.

Yang mereka cuba fahami ialah bagaimana jalan ceritanya. Apakah jalan cerita itu menarik dibaca atau tidak. Apakah setiap jalan cerita yang telah diceritakan itu mempunyai sebab dan alasan dan mempunyai penyebab dan hasilnya. Apakah kenyataan-kenyataan sokongan yang perlu di tulis supaya jalan cerita itu cukup baik dan lancar.

Maka yang terumus dari cakap selepas minum pagi tadi itu ialah, proses penceritaan, baik proses penceritaan itu melakarkan penceritaan dari kualitatif yang sarat dengan kenyataan demi kenyataan, baik melalui grounded theory atau sekadar content analysis, atau ia proses penceritaan dari angka-angka yang terhasil dari anova, f statistik atau amos atau lisrel. Kenyataan-kenyataan dan angka-angka itu tidak sangat menjadi persoalan. Persoalan yang besar ialah jalan cerita.

Maka berilah masa untuk bercerita berkali kali dan berkali kali.

Saya sedang menuliskan jalan cerita itu. [Sila ke nota kaki]

Wednesday 25 July 2007

Bualan saya dengan sdr Dingin di PTS

  1. Di bawah ini adalah apa yang saya tulis di blog Universiti Terbuka PTS tentang kemungkinan bermulanya 'ancaman' atau dalam bahasa yang lebih sederhana 'peringatan' dari pihak berkuasa terhadap semua penulis2 blog. Dalam nada yang lain, 'anda semua jangan berani2 nak kritik dan tegur atau mendedahkan apa-apa. Anda boleh didakwa dan ditangkap. Anda tulis diari cerita sehari2 , makan, berjalan, kahwin, pergi main-main, beli kereta, dan suka-suka cukup. Kalau anda susah tak ada duit, hutang banyak, barang mahal, rumah mahal, jalan sesak, hendak pergi hospital takut nanti bayar mahal walaupun badan telah sakit, itu semua salah anda semua. Kenapa tidak belajar pandai, kenapa cari kerja gaji sikit, kenapa tak buat overtime atau part time, kenapa tak berniaga. Itu salah anda. Anda duduk diam-diam cukup. Bersyukurlah. Kitakan jauh baik dari mana negara Afrika, apa lagi yang anda mahu!. (kesalahan pada ayat saya di bawah telah dibetulkan oleh Puan SifuPTS)
  2. denai Says:

    Apakah ribut yang memberikan rasa ‘gerun’ untuk menulis di blog telah mula bertiup?

    Mungkin kerana ‘umpan lama bahawa tentang celuparnya negara jiran di selatan’ sudah tidak di makan ikan?

    .

    di makan (SALAH) = dimakan (BETUL)

  3. dingin Says:

    Saudara denai, saya tidak faham analogi (jika analogi) saudara.

  4. denai Says:

    Pertamanya saya memohon kebenaran Pn Sifu untuk berbicara ‘isu-isu semasa’ di dewan kuliah di sini dengan adab yang tertentu. Saya berharap ‘tutorial pendek’ ini dapat memberi kefahaman rakan-rakan sekuliah saya di sini.

    Buat berlaku adil kepada saudara Dingin, dua ayat soal saya di atas ditulis tanpa latar belakang dan di tempatkan di ruang yang tidak tepat. Mungkin juga ciri-ciri orang Melayu yang bercakap tidak ’secara tepat’(?).

    Ia hanya timbul hanya setelah saya terbaca dari beberapa laman web yang memaklumkan pihak berkuasa di negara kita telah mula membuat laporan polis terhadap blog yang secara terang-terangan dikatakan ‘mengganggu ketenteraman awam’.

    ‘Ribut’ yang saya maksudkan ialah ‘laporan polis berkenaan’ dan ‘kesan dari laporan polis tersebut yang mungkin membawa kepada tangkapan kepada penulis blog berkenaan’. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran perkara tersebut.

    Jika benar, sejauh manakah kesan peristiwa tersebut dapat membina rasa gerun di kalangan penulis-penulis blog?

    Keduanya, ‘rasa perpaduan kilat’ (umpama banjir kilat yang segera datang dan hilang) boleh dibina di kalangan orang Melayu di negara kita dengan membangkitkan rasa ‘terancam’.

    Rasa terancam dalam konteks orang Melayu dalam negara pelbagai kaum mudah diwujudkan dengan menyebut ‘terdapatnya pemimpin kaum lain atau sekumpulan bangsa lain’, baik dalam negara atau di negara jiran mengeluarkan kenyataan celupar terhadap orang Melayu.

    Kenyataan seperti itu dapat membangkitkan rasa marah di kalangan orang Melayu dan perlunya kita ‘bersatu padu’ untuk melawan ‘kenyataan seperti itu’.

    Jika kita orang biasa ini adalah ikan-ikan yang mudah memakan umpan-umpan kenyataan seperti itu di masa lalu, mungkin juga umpan sebegitu sudah tidak dimakan ikan lagi?

    Saya tidak tahu, kerana saya hanya ikan kecil sedang berada jauh di pinggir Lautan Atlantik.

    Jika tutorial saya tidak tepat, tolong betulkan.

    .

    di tempatkan (SALAH) = ditempatkan (BETUL)

Monday 23 July 2007

Apa lagi yang harus disebut kalau orang kata tempat kita baik?

Sebelum memasuki masjid saya bertemu dengan seorang penyelidik dari Somalia. Beliau berkata dia telah membesar dan menetap di Copenhagen Denmark. Pertanyaannya terhadaap saya ialah, bolehkah beliau bercadang untuk bekerja di Malaysia?.

Tetapi katanya ia bukanlah untuk masa terdekat ini. Ini kerana dia telah mendapat pekerjaan di Copenhagen dan boleh memulakan kerja pada bulan hadapan. Sekiranya beliau dapat menyiapkan kajian penyelidikannya dan dapat dihantar, maka dia akan mula bekerja di sana.

Tetapi minat beliau untuk bekerja di Malaysia dan menetap di sana adalah tinggi. Ini kerana bagi beliau Malaysia adalah negara yang sangat sesuai untuk hidup dan selesa untuk orang Islam.

Saya hanya mampu menyebut dan mengiayakan katanya. Dan sekadar membuat perbandingan kos sara hidup yang jauh lebih rendah dengan nilai mata wang pound sterling.

Apa lagi yang saya harus sebut bila orang berkata tempat kita baik?

Tuesday 17 July 2007

Bila sedap mata memandang

Apabila berada 'terlalu' lama di sesuatu tempat sensitiviti kita terhadap kelainan tempat tersebut berbanding dengan tempat di mana kitaa berasal makin berkurangan. Jika saya berasal dari Kelantan dan telah menjadi kebiasaan memakan makanan yang agak manis atau tidak pedas tetapi apabila saya merantau ke Pulau Pinang sudah tentu masakan orang Pulau Pinang agak asing bagi saya.

Jika saya juga telah biasa dengan orang Cina di Kelantan boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa daerah Kelantan, tetapi apabila saya mendapati orang Cina di Pulau Pinang amat sukar untuk bertutur dalam bahasa Melayu ia merupakan sesuatu yang pelik bagi saya.
Begitu jugalah keadaannya di tempat lain. Tetapi jika saya telah menetap di Pulau Pinang untuk tempoh yang lama seperti telah melebihi 5 tahun, perkara yang janggal pada asalnya bagi diri saya akhirnya menjadi lazim. Masakan Penang telah menjadi biasa, orang Cina yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau sangat pelat itu sudah tidak menjadi asing lagi.

Apakah perubahan yang saya gambarkan di atas tadi adalah tanda kelunturan 'kekelantanan' saya dan berubah menjadi 'kepenangan'?. Apakah pegangan saya pada ciri-ciri tempatan yang saya pegang kukuh dahulu telah larut oleh keadaan di tempat baru, lantas menerima ciri-ciri di tempat baru sebagai 'biasa', 'tidak ada apa-apa peliknya' dan 'itulah realitinya'.
Dari perspektif yang sama, nilai-nilai Melayu, Islam dan timur yang ada dalam masyarakat kita bagi saya jauh sekali berbeza dari nilai 'Barat', 'Inggeris' dan 'moden' dalam masyarakat di London.

Berpakaian yang terdedah sana sini akan dinilai oleh masyarakat kita sebagai 'berpakaian seksi', menjolok mata dan di anggap salah oleh norma-norma kita. Walaupun pengaruh ini telah menular dalam masyarakat remaja di tempat kita, tetapi umum masih menerima ia sebagai menjolok mata, tidak beradab, salah, berdosa. Masyarakat kita tidak boleh menerima berkucupan baik di khalayak ramai atau tersorok sebagai 'biasa'. Kita akan kata itu kerja salah, walaupun ia telah terlalu banyak dilakukan oleh remaja kita dimana-mana sekarang ini. Gambar wanita yang tidak memakai baju dalam baik dalam internet, atau tv, atau filem atau majalah dan akhbar akan kita takrifkan sebagai gambar tidak senonoh.

Tetapi dalam masyarakat Barat di London, apa yang kita takrifkan sebagai salah, tidak betul itu adalah perkara biasa bagi mereka. Berkucupan di dalam bas atau mana-mana kenderaan awam di tengah khalayak ramai adalah perkara normal dan tidak rasa jangggal bagi pembuatnya. Gambar-gambar 'tidak senonoh' yang kita kata tidak betul adalah paparan biasa dalam TV, majalah atau akhbar tabloit khususnya. Ia adalah perkara biasa yang boleh dilihat hari-hari.Page 3 akhbar The Sun milik Rupert Murdoch itu adalah mukasurat khas gambar wanita tidak berbaju.

Ketika berpegang pada nilai-nilai sedia ada yang berasaskan ugama, dan budaya kita dan memasuki suasana yang berlainan untuk jangka masa yang lama, memerlukan kekuatan yang luar biasa. Keupayaan untuk lari dari perkara-perkara tersebut memerlukan 'tenaga' kerana hidup di kelilingi oleh perkara tersebut.

Anak-anak orang Melayu Islam yang membesar dalam suasana itu tentu sekali akan menerimanya sebagai lumrah kerana itulah suasananya. Yang termampu di buat oleh orang tuannya ialah memberi tahu, itu salah, itu berdosa, itu tidak betul ketika terlihat apa-apa adegan di TV, jika terlepas, atau jika ternampak dalam akhbar atau majalah, setelah cuba untuk tidak membeli akhbar2 dan majalah2 tersebut atau tidak menonton TV selepas 9.00 malam. Tetapi sukar untuk tidak pergi ke kedai buku dan muka depan majalah2 di Tesco atau Asda atau Morrison atau WH Smith tetap menunjukkan gambar-gambar tersebut.

Sejauh mana kekuatan sensitiviti orang Melayu Islam untuk berdepan dengan suasana tersebut? Walaupun anak-anak boleh bertutur bahasa Inggeris yang 'cair' dengan loghat bandar di mana mereka duduk, tetapi mereka mula suka menjerit ketika memanggil antara satau sama lain, bergurau yang 'kasar' dari segi pendapat orang Melayu kita dan terkeluar 'kata-kata carut' yang mereka sering dengar dalam perbualan dengan rakan-rakan disekolah dan meresapnya budaya Inggeris dari bahasa yang mereka gunakan itu.

Kita yang tidak melaluinya mentakrifkan, 'sedap betul duduk di England', 'boleh berjalan ke sana-sini', 'bermain salji (jika turun) pada musim sejuk', 'anak-anak boleh bertutur Inggeris dengan cair', dan pelbagai gambaran indah yang terjelma.

Kenapa keindahan, kesedapan, keseronokan yang terjelma dari mata yang memandang keadaan orang di negara orang Putih? Sedangkan mereka yang melaluinya 'tercair dengan keadaan sekeliling' atau 'berhempas pulas mencari duit dengan mencucui tandas, menjadi tukang sapu, semata-mata untuk membolehkan sewa rumah, dan bil-bil terbayar!

Tuesday 10 July 2007

Jangan sebut lemah lembut tolak ansur dalam business, itu fahamn lama!

Pendapat saya tentang orang Melayu telah mempunyai nilai-nilai yang baik dalam diri mereka yang telah terbentuk lama dan turun temurun dan ia sangat wajar terus dipertahankan dan diamalkan dalam perniagaan.

Sikap tolak ansur, menjaga hati orang lain, tidak agresif, sederhana, berhati-hati dan segala macam nilai-nilai yang kita kata lembut dan tidak kasar itu telah di bantah hebat oleh seorang ahli perniagaan Melayu yang telah berjaya.

Beliau mengatakan itu adalah nilai-nilai Melayu lama yang tidak di amalkan oleh ahli perniagaan Melayu Baru. Nilai-nilai itu katanya sudah tidak sesuai lagi. Nilai orang business adalah nilai lain.
Katanya, janganlah saya jaja konsep tersebut, nanti ditertawakan oleh orang.

Saya menenangkan diri saya dalam perbualan singkat itu. Tetapi yang terdetik dalam fikiran saya ialah, inilah kesan modernisasi, globalisasi, faham kapitalisma dalam perniagaan dan pengaruh teknik pengurusan dari buku-buku dan guru-guru pengurusan barat dari masyarakat individualis.

Sehingga orang Melayu kita sanggup lari dan memandang jijik nilai baik dan tersendiri yang ada pada bangsa kita untuk terus mengikut faham kapitalisma individualistik yang kasar, agresif, saman menyaman, tidak pedulikan siapa. Kerana titik akhir pada mereka ialah ringgit dan sen.

Saya malu kerana bangsa saya masih disesatkan dan terjajah setelah 50 tahun merdeka.

Friday 6 July 2007

Orio al Serio, Bergamo

Tempahan kenderaan yang akan dinaiki telah dibatalkan di saat akhir 8 jam sebelum penerbangan ke lapangan terbang Orio al Serio, Bergamo, Milan bermula. Maklumat email saat akhir itu dianggap tidak dibaca sahaja. Setiba di sana, cuaca cerah dan panas pagi sudah terik. Memasuki negara Italy dengan menggunakan passport warna merah itu memisahkan laluan dari mereka yang lainnya. Yang melalui laluan yang serupa tidak ramai, tetapi pertanyaan dari pegawai yang memeriksa pasport hanya bertanya, mana satu nama keluarga.

Pertanyaan lain tidak ada. Kenapa datang, hendak ke mana dan mana tiket pulang juga tidak ditanya. Tetapi masing-masing mesti beratur dengan memegang pasport masing-masing, tidak kira kecil atau besar, sendiri atau bekeluarga.

Lapangan terbang ini tidak sebesar mana. Ia hanya setingkat, tidak seperti Subang, tetapi lebih besar dari Senai, jauh lebih kecil dari KLIA. Di ruang ketibaan telah dipenuhi orang baik yang menunggu atau yang sama-sama sampai. Kapal terbang yang tiba tidak banyak, kerana ia lapangan terbang ke tiga di sekitar Milan walaupun jarak bandar Bergamo dan Milan sejam perjalanan.

Mencari mana satu syarikat tempahan kereta menjadi satu masalah juga. Ini kerana syarikat yang ditempah bernama lain, sedang syarikat di lapangan terbang itu adalah syarikat yang lain. Namun akhirnya ditemui juga. Rangkaian pelbagai syarikat yang ada telah menjalin usahasama supaya mendapat pelanggan yang lebih ramai dari pelbagai negara.

Walaupun hampir semua bertutur bahasa Italy, bahasa kebangsaan mereka, tetapi ada yang bersedia untuk menggunakan bahasa Inggeris, walaupun pertuturan mereka sekadar melepaskan untuk boleh difahami. Mendengar mereka bertutur bahasa Inggeris sebegitu untuk bekerja di syarikat tempahan kenderaan di lapangan terbang antarabangsa, jika mereka itu orang Melayu yang datang temuduga untuk jawatan yang serupa di Kuala Lumpur, awal-awal lagi tentunya tidak berjaya. Pegawai yang menemuduga pasti akan berkata, awak tidak dapat kerja ini kerana tidak boleh bertutur bahasa Inggeris dengan lancar kerana kerja ini akan berhadapan dengan pelancung asing. Tetapi ini di Bergamo, Italy bukan Sec 14, PJ, KL.

Walaupun kenderaan yang di tempah tidak mereka sediakan kerana tiadanya kenderaan yang dikehendaki itu, tetapi beliau sedia untuk bertanya pada syarikat lain yang terdapat di situ. Yang ada hanya satu syarikat sahaja, tetapi harganya jauh lebih mahal. Untuk mendapatkan dari syarikat lain di Bergamo, atau di Milan belum pasti boleh diperolehi, dan tentunya akan memakan masa lama. Sedang perjalanan paling kurang 4 jam mengikut catitan tom tom ke tempat yang akan di tuju.

Wednesday 4 July 2007

Komentar saya pada tulisan Fathi Aris Omar

Menghidangkan bacaan ideologi liberal kepada masyarakat yang kurang membaca mungkin hanya memerangkap mereka dalam perangkap pemikiran sedang mereka tiada usaha untuk mencari yang lain bagi membuat perbandingan bagi mematikan hujah-hujah yang dibaca itu.

hidangan perbandingan sangat wajar diberikan agar mereka yang gagah berfikir mampu mencari jalan keluar dari perangkap tersebut.

kritikan yang bertalu-talu dan pengulangan berkali-kali terhadap perkara negatif adalah pengiklanan dan pemasaran yang berkesan.

dan

saya bersetuju dengan pembodohan masyarakat yang terancang dan sengaja supaya bangsa yang bodoh akan mudah ditarik ke mana-mana dan di biarkan miskin supaya sentiasa mengharap ehsan dari tangan yang memberi. Kebodohan dan kemiskinan itu akan menjadikan mereka pengikut yang taat setia. Dengan jiwa halus bangsa dan tidak akan membantah kerana nilai hormat yang tinggi pada hiraki menjadikan ia titik-titik lemah bangsa. Mencerdikkan bangsa adalah melepaskan mereka dari cengkaman dan menyuntikkan keberanian untuk lari dari tradisi rasa takut dan durhaka.