Wednesday 5 March 2014

Hadapilah realiti dengan adil, berani dan jangan lari.

Kekalutan dan kesibukan sendiri kini telah memasuki babak baru. Sejak mula terpaksa menguruskan sekumpulan manusia terpelajar yang melebihi lima puluh orang pelbagai detik-detik sibuk yang terpaksa dilalui. Fasa ini adalah fasa ujian yang baru. Saya cuba untuk melihat fasa ini dengan adil dan berani.
Adil dari segi mentakrifkan apa yang dilalui sebagai realiti. Realiti sebenar yang perlu dilalui tanpa perlu untuk lari dari realiti itu.

Jika yang datang itu anak-anak yang mengadu hal yang kecil-kecil dan remeh temeh. Terimalah realiti yang kecil-kecil dan remeh temeh itu. Itulah realiti pengaduan anak-anak yang sedang meniti kehidupan.Anak-anak kecil memang begitu sifatnya. Dan sedarlah ketika kita masih kecil-kecil dahulupun begitu, yang kecil-kecil dan remeh temeh itu sungguh besar dan memeningkan pada masa itu.

Jika yang mengadu itu yang besar-besar dan yang diadukan itu yang kecil-kecil dan remeh temeh. Terima jugalah realiti itu. Sebab masih ada yang besar-besar masih berbelit-belit dengan benda kecil dan remeh temeh. Jangan di pandang negatif mereka. Memang mereka dalam lingkungan benda kecil dan remeh temeh itu. Hadapailah mereka dengan cara benda-benda kecil dan remeh-temeh itu. Dengan mengajak mereka berfikir untuk membandingkan satu benda lain yang juga kecil dan remeh temeh yang biasa mereka temui dan hadapi, menjadikan masalah kecil yang remeh temeh yang ditanya tadi mereka senang fahami dan tahu menghadapinya.

Bila yang mengadu itu yang besar-besar dan perkara yang diadukan itu yang besar-besar juga. Hadapilah pengadu itu dengan tenang dan membawa benda yang besar itu kepada lebih sederhana. Agar kita dan dia sedar bahawa yang besar jika di tangani dengan sederhana dan tenang, ia dapat dijinakkan dengan tenang dan sabar.

Hadapi dengan menyelesaikan secara bertemu muka. Bertemu muka dengan dapat melihat segala mimik, gerak badan dan intonasi ucapan dapat meredakan yang besar-besar kepada lebih sederhana dan sabar.
Komunikasi elektronik dan atas talian tidak dapat menyampaikan mimik, gerak badan dan intonasi. Ayat-ayat yang sama akan ditafsirkan lain bila mimik, gerak badan dan intonasi tidak dilihat. Bertemu mukalah dengan senyum, sabar.dan berani. Beranilah, jangan lari!