Wednesday 27 June 2007

Biar orang kita ada pilihan, menyedari tidak hanya Inggeris yang bagus

Kesedaran orang kita terhadap terdapatnya bangsa-bangsa lain di dunia yang lebih hebat, lebih baik dari orang Inggeris, sistem Inggeris boleh dikatakan agak rendah. Kerendahan kesedaran itu mungkin kerana kita pernah di jajah oleh mereka dan semua sistem yang kita ada hampir keseluruhannya adalah cedukan dari sistem Inggeris.

Tetapi usaha menghantar pelajar-pelajar belajar ke merata dunia selain dari ke UK dan US sebenarnya telah dibuat lama juga. Contohnya ke Jepun, telah lama program penghantaran pelajar-pelajar ke Jepun telah dibuat. Tetapi kita yang berada di luar lingkaran mereka yang lepasan universiti Jepun tidak sangat menyedari kehebatan orang Jepun dan sistem Jepun dari mereka itu.

Pengetahuan kita tentang kekuatan Jepun lebih disebabkan oleh barangan2 yang ada di pasaran baik kenderaan atau alatan elektronik yang menguasai pasaran. Tetapi cerita tentang sistem dan nilai orang Jepun tidak sangat kita dapat dari menggunakan kenderaan Jepun dan alatan2 elektrik dari Jepun. Malah ramainya lulusan dari Jepun tidak sangat terserlah pada pandangan umum, walaupun mereka ramai dan hebat-hebat.

Orang-orang di kampung tidak sangat menyedari cerita kehebatan orang Jepun dari lulusan Jepun, tetapi yang masih melekat dalam fikiran mereka ialah keganasan askar Jepun dahulu dan cerita kamikazi.

Begitu juga dengan lulusan yang semakin ramai dari negara Eropah lain seperti Peranchis, Jerman ataupun Russia. Cerita dari mereka tentang kekuatan teknologi, kebaikan sistem pentadbiran, kekuatan semangat dari negara-negara ini tidak terserlah sebagaimana melekatnya cara dan sistem Inggeris dalam minda kita.

Untuk membolehkan masyarakat umum ataupun orang-orang yang mentadbir boleh mengetahui dan menyedari bahawa masih terlalu banyak negara lain yang jauh lebih baik dari apa yang ada di UK atau di US, maka cerita tentang kebagusan bangsa lain selain Inggeris dan kebagusan bangsa sendiri mestilah sentiasa di hebahkan.

Tetapi hebahan dan cerita-cerita itu nampaknya masih tidak merata. Malah usaha untuk meratakan cerita baik dari bangsa lain selain Inggeris tidak sangat dibuat oleh media kerajaan. Yang sangat ditumpukan ialah cerita-cerita drama kisah konflik keluarga yang tidak sudah2 dan kisah-kisah cinta yang sangat tertonjol dari siaran-siaran TV kita.

Mungkin peranan media alternatif baik dari tulisan di blog atau video/TV rakaman sendiri perlu dibuat supaya bangsa kita mempunyai pilihan untuk menilai apa kebaikan bangsa lain yang patut dicontohi dan keburukan yang patut kita jauhi. Disamping menunjukkan banyaknya nilai baik yang sudah kita miliki yang tidak perlu lagi kita mengikut orang lain.

Ia mungkin seperti kehebatan bomoh di tepi rumah kita tidak kita sedari, sebaliknya berbondong orang luar datang berkunjung mendapatkan bomoh di tepi rumah kita itu.
Kekautan kejujuran, keikhlasan, kuat bekerja bangsa kita tidak tertonjol, tetapi curi tulang dan kemalasan bangsa lain yang hendak kita ikut!

Tuesday 19 June 2007

Kalau politik itu segalanya, belajarlah dari sekolah rendah lagi!

Dalam masyarakat kita semua perkara dibincangkan dan dibicarakan dalamperspektif politik, aliran politik dan parti politik. Seolah-olah semua benda dari sekecil-kecil perkara sampai sebesar-besar perkara dicakapkan dengan politik.

Perbincangan hari-harian dari kedai kopi di kampung, sampailah ke restoran besar di kota-kota bercerita tentang politik. Politik seolah segala-galanya. Bincang pasal pelajaran atau pendidikan juga ikut acuan politik, cerita pasal banjir juga ikut cara politik, main bola dan segala sukan juga ikut politik, dalam kampus di kalangan pensyarah dan profesor juga percaturan politik.

Sepatutnya kalau pelajaran dan pendidikan biarlah orang orang yang pakar pelajaran dan pendidikan yang cerita. Kalau pasal banjir biarlah pakar kajian banjir, alam sekitar, parit dan saliran yang sebut. Kalau pasal sukan biarlah pakar dan ahli sukan yang sebut. Ini tidak, habis semua orang politik yang nak sebut.

Disebabkan ahli politik terlalu banyak kerja dan jawatan dan dapat duit banyak, maka berebut-rebutlah yang nak jadi ahli politik.

Kalau macam itu lebih baik dari sekolah rendah dan ada mata pelajaran politik dan ada aliran politik. Jadi jika yang belajar sampai darjah enampun paling kurang dia ada dah belajar cara berpolitik lepasan darjah enam. Kalau yang belajar sampai PMR dapatlah dia ilmu politik sampai PMR, begitu juga lepasan SPM, STP atau universiti.
Biar mereka itu pandai sikit dan tahu bidang tugas masing-masing. Tidaklah duduk sibuk nak campur urusan bidang orang lain!

Wednesday 13 June 2007

Merdeka jiwa bangsa itu adalah terlerainya keterikatan pada bangsa lain

Apakah saya berniat jahat atau 'berdendam' (meminjam istilah Nazmi) terhadap Inggeris maka saya cuba memberi gambaran buruk terhadap kota gah mereka?. Jika itu yang terserlah dari tulisan sebelum ini, maka saya katakan, saya tidak berniat jahat dan berdendam.

Yang saya gusarkan ialah bagaimana saya dan bangsa saya yang telah 50 tahun merdeka mukabuminya dari penjajahan British tetapi rupanya masih belum merdeka jiwanya. Kekaguman tentang kehebatan Inggeris dalam segala bentuk dari rupa paras mereka, bahasa mereka, bangunan-bangunan mereka, kenderaan, jalanraya, taman dan kebun, bunga-bunga, pasukan-pasukan bola, pinggan mangkuk malah tempat berak dan kencingpun turut dikagumi.

Malah macam tiada satu benda dan perkarapun yang datang dari Inggeris, yang buatan Inggeris, yang dari sistem Inggeris untuk dikatakan tidak elok, tidak ada. Semuanya bagus, elok buatannya, bermutu tinggi, berkualiti, hebat dan segala istilah kebagusan dan kehebatannya. Itulah gambaran, fahaman yang pada saya masih sangat kuat terpahat dalam jiwa bangsa saya.

Seolah-olah apa yang ada pada kita macam semuanya tidak elok dan tidak baik. Sedangkan nilai-nilai baik, mulia berpandukan ugama Islam yang kita anuti, yang dipegang selama ini, yang tahu mana dosa dan pahala, mana najis dan suci, mana mabuk dan tidaknya, rupanya tidak dapat memberi perbezaan antara apa yang ada pada Melayu dan yang ada pada Inggeris.

Kemerdekaan jiwa saya dan jiwa bangsa saya adalah kemerdekaan dan pembebasan dari segala bentuk keterikatan kepada makhluk lain dan dari bangsa lain. Kemerdekaan jiwa saya dan jiwa bangsa saya ialah berpegang pada identiti sendiri yang telah dimerdekakan oleh Islam; yang memberi sistem hidup yang sempurna dari dunia hingga selamanya.

Bagaimana saya dan bangsa saya boleh merdeka, tidak terikat dan boleh terlerai dari kekaguman terhadap segala macam benda dari Inggeris?
........

buat sahabat saya Lope, terima kasih sahabat kerana mencoret panjang di sini, aku dan bangsa kita memerlukan kamu untuk terus menerus memujuk, membelai jiwa halus bangsa kita agar menyedari kekuatan-kekuatan dan kehebatan-kehebatan dalam jiwa-jiwa Haji Mat, Lebai Seman, Munah, Jenab dan Deris dari terus terpukau dan kagum dengan kilauan warna-warna pelangi sementara yang di tunjukkan oleh Peter, Smith, Katie, Hannah dan Bethanie.

AJ, kalau aku ucap tahniah untuk kamu!

Monday 11 June 2007

Rakaman wajah-wajah kotor dan sesak London

Saya sempat bermalam di Barking, satu tempat di kawasan timur bandar London. Sebelum ini saya hanya berkenderaan di jalan raya utamanya, tetapi tidak pernah singgah. Tidak banyak yang saya tahu jika sekadar melihat kawasan sekeliling ketika dalam kenderaan.

Tetapi apabila bermalam di situ dan berjalan kaki di sekelilingnya, maka baru saya sedar sukarnya untuk saya berjumpa orang Inggeris berkulit putih. Yang saya lihat hampir ke semuanya berkulit gelap. Baik berambut kerinting atau lurus hampir semuanya tiada yang berwarna putih.

Kalau adapun yang berkulit cerah, tetapi mereka tidak bertutur dalam bahasa Inggeris. Saya hanya meneka pastinya mereka dari Eropah Timur yang rata-rata sekarang ini membanjiri pasaran buruh di United Kingdom. Mereka datang untuk bekerja untuk mendapat duit yang jauh lebih tinggi nilainya dari negara mereka.

Dari kawasan itu saya sempat berkeretapi ke pusat bandar London dan rupanya melalui pelbagai kawasan yang tidak di tonjolkan oleh mana-mana gambar yang saya pernah jumpa.

Yang terfikir oleh saya ialah, sangat perlunya rakaman gambar2 kawasan sesak, susah, kotor yang ada dalam kota London. Jika kawasan sesak itu di ambil gambarnya dan di letakkan bersebelahan dengan kawasan sesak Kampung Baru di Kuala Lumpur, atau kawasan sesak di Jakarta, saya rasa ia mungkin tidak ada jauh bezanya.

Gambaran sesak, kotor dan susah yang ada pada kota London tidak pernah tergambar oleh mana-mana orang Melayu yang belum pernah sampai ke kota ini. Gambaran London di sisi orang di tanahair adalah kota hebat yang penuh dengan kesenangan dan keindahan.

London sebagai kotor, sesak, jijik tidak pernah tergambar oleh kita. Sehingga yang terpahat dalam gambaran kita ialah, yang kotor, sesak, jijik itu adalah imej-imej tempat kita dan identiti kita. Imej-imej yang terakam dalam diri kita bagi kota London ialah kehebatan, kesegakan dan kepopularan dan bagus.

Akibatnya mereka yang ke London dan berada di London adalah kehebatan, kesegakan dan berhiburan. Tetapi tidak sedikit yang berada di London bekerja yang jauh lebih jijik dan kotor dari kerja di tanahair sendiri.

Friday 8 June 2007

Muqaddimah kepada Denai di Musir

Paya atau sawah di kampung telah lama di tinggalkan. Tetapi selepas itu ada badan kerajaan yang mengajak semua orang kampung yang memiliki paya untuk sama-sama tanda tangan bersetuju supaya badan kerajaan itu yang menjayakan.

Orang kampung kata, daripada tidak dapat apa, lebih baik dapat juga sedikit. Walaupun mereka beri tidak banyak hasil dari tanah paya yang telah badan kerajaan itu jayakan.

Tapi di paya-paya itu banyak juga tanah tinggi yang ditumbuhi oleh pokok-pokok besar. Di situlah selalunya kerbau berihat setelah lama berendam dalam kubang air paya yang pekat kelabu itu.

Di tanah tinggi itu juga tempat banyaknya pokok palas dan senduduk yang berbunga unggu dan buahnya manis bila masak. Kalau di makan, maka unggulah mulut kerana warnanya melekat pada mulut.

Burung-burung kecil baik ciak uban, pipit, kelicap atau juga merbah kapor sering sangat hingga dan memakan buah senduduk itu. Sedang disekeliling di bahagian bawah pokok itu banyak pula rumput malu yang juga berwarna unggu dan daun-daunnya halus.

Pulau di tengah paya iulah di gelar musir. Pada musir yang besar akan banyak laluan-laluan kecil dicelah-celah pokok palas dan senduduk yang menjadi denai untuk kerbau-kerbau lalu dari tebing sini ke tebing sana.

Perangkap sangkar burung merbah yang di pasang akan mengena tangkapannya bila ia bingkas dan burung merbah kapor yang putih di sekeling mata itu terperangkap di dalamnya.

Esok tentunya akan ramai lagi yang datang.

uipts.