Thursday 11 April 2013

Berani Tanpa Segan DKL

Pagi tadi selepas subuh saya mengambil sebuah buku yang dah beli lama tapi belumdi baca, iaitu buku 'Berani Tanpa Segan, oleh Tan Sri Abdullah Ahmad atau juga dikenali sebagai Dollah Kok Lanas (DKL), terbitan Alaf 21 milik Kumpulan Karangkraf. Buku ini merupakan kumpulan tulisan DKL dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian.

Secara jujur saya tidak membeli akhbar tiap-tiap hari sejak pertengahan 2008 lagi tidak sepertimana tahun-tahun sebelum itu dan akhbar Sinar Harian dipilih-pilih mengikut tajuk apa pada hari itu. Akibatnya kolum DKL saya jarang baca. Tetapi saya telah kenali beliau sejak 80an terutama tentang cerita beliau di tahan dibawah ISA di zaman pemerintahan Tun Hussien Onn, tentang beliau sebagai orang kanan Tun Razak dan cerita-cerita selanjutnya.

Saya tidak berhajat untuk mengulas sejarah beliau. Yang mendorong saya untuk menulis hari ini disini ialah setelah saya membaca prakata buku Berani Tanpa Segan setelah membaca prakata buku ini yang ditulis oleh Datuk  Abd Jalil Ali (AJA), Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf dan juga kolum penghargaan oleh DKL sendiri dan bab pertama yang bertajuk Isu Pokok Pendidikan, Bukan Bahasa.

Dalam prakata Datuk AJA mengulas tentang latar belakang DKL dan ketokohannya dan contoh-contoh dari tulisan DKL yang menunjukkan DKL seorang yang menulis '...apa yang dirasakan perlu, tanpa takut, tanpa selindung, tanpa segan dan ragu (p.3)'. 

Malah yang mendorong saya untuk membeli buku inipun kerana tajuknya "Berani Tanpa Segan".

Manakala di kolum  penghargaannya DKL menuliskan secara detail semua nama-nama mereka yang membantu menjadikan buku ini berjaya diterbitkan bukan hanya kepada editor-editornya tetapi juga kepada semua nama mereka yang menaip dan yang telah menyalin semula tulisan tangannya seperti kata beliau;
               '....Penolong Editor Rencana Sinar Harian yang begitu tekun menyunting dan ada ketikanya  menaip salinan asal tulisan tangan saya yang buruk. Saya juga berterima kasih kepada Zaila Mohamed Ali dan Teh Rogayah yang berfungsi demikian sebelum Darina dan Fouziah......(juga) kepada Zuby (Zubaidah Hamzah), pembantu sambilan saya yang menaip semula tulisan tangan saya sebelum diemel ke Sinar Harian (p.7).'

Apa yang DKL tulis dalam penghargaan ini mengingatkan saya tentang sangat wajarnya nama mereka yang benar-benar menjayakan sesuatu kerja itu diucapkan terima kasihnya, tentunya mereka yang dibawah, bukan hanya menyebut nama-nama besar yang berjawatan yang perlu diterima kasihkan.

Keduanya DKL telah menunjukkan proses penulisan beliau, beliau menulis dengan tulisan tangan dahulu sebelum ditaip oleh pembantu beliau di komputer dan diemelkan. Ini bermakna DKL menulis dimana-mana tanpa perlu ada PC atau apa-apa alat teknologi sekarang. Dan untuk menjayakannya menjadi tulisan yang lengkap boleh sampai ke meja editor, memerlukan seorang pembantu yang menguruskan proses tersebut.

Selanjutnya dari bab pertama tulisan DKL ini memberi saya idea untuk mencari jawaban secara detail dan berfakta, mengapakah bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan tidak mendapat tempat dan tidak berperanan sepenuhnya dalam negara sebagaimana Bahasa Thai, Bahasa Indonesia, Bahasa Arab, Bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain didunia.

Bagi saya contoh-contoh yang diberikan oleh DKL seperti orang bercakap rojak, pemimpin Melayu yang sepatutnya memberikan contoh, juga sama, tidak memberikan contoh, malah seperti di kutip oleh AJA,
'...dalam soal menegakkan dan memertabatkan Bahasa Melayu, DKL membidas sikap hipokrit sesetengah pemimpin kita. Tulis DKL: "Mereka (setengah golongan pemimpin Melayu dan nasionalis bahasa) cakap penuh semangat supaya bahasa tersebut diamalkan sejak peringkat kanak-kanak, tetapi mereka sendiri menghantar anak belajar di England, Australia, Amerika sejak peringkat rendah, kalau di Malaysia dihantar pula ke sekolah antarabangsa sehingga cakap Melayu pun pelat."
adalah merupakan 'AKIBAT' yang ada 'SEBAB'nya.

Juga contoh yang diberikan tentang orang kita di peringkat antarabangsa pun macam kekok dan berkumpul sesama sendiri atau bersendirian, juga merupakan Akibat dari sesuatu yang kuat tertanam dalam diri orang Melayu yang menjadikan orang Melayu berperangai begitu.

Saya berharap saya berjaya untuk menjalankan sedikit penyelidikan secara kualitative untuk menghuraikan sebab-sebab yang menjadikan orang kita jadi begini.

No comments: