Tuesday 2 April 2013

Kembali untuk membina keberanian!

Setelah membuka kembali cerita-cerita lama dari pc lama yang masih kuat dan boleh digunakan, maka terdetik semula untuk kembali meneruskan catitan-catitan baru.

Memang sangat-sangat lama tidak terjun ke medan catitan kespontanan ini. Dulu ketika aktif, kespontanan yang dipegang. Kespontanan dan catitan rakaman sejarah persendirian dianggap penting. Maka berhujahlah kita dengan macam-macam hujah untuk mengatakan catitan kespontanan itu adalah rakaman semasa.

Rakaman yang jika ikhlas niatnya ia membawa kepada amal yang makruf. Ia boleh menjadi sumbangan ilmu yang manfaat. Tetapi sesuatu pekerjaaan itu memerlukan istiqamah. Sebab itu pesanan biar sedikit tetapi istiqamah adalah jauh lebih baik daripada buat banyak tetapi bermusim.

Apapun diharap kembali semula ke arena ini diharap dapat memberi sumbangan seadanya. Tentang rakaman semasa, tentang ilham dan kata-kata, tentang lintasan fikiran dan diharap ia datang dari apa yang terfikir seadanya. Tanpa perlu persediaan, tanpa perlu bertaja.

Setelah lima tahun berpegang kepada kata-kata semangat 'jangan takut', maka saya cuba untuk mengotakan kata semangat 'jangan takut' itu.

Malah saya telah mencubanya selama lima tahun ini kepada banyak kumpulan pelajar, dari peringkat pelajar sekolah peringkat SPM, pelajar diploma, pelajar sarjana muda, pelajar sarjana, pelajar doktor falsafah dan mereka yang bekerja. Jawaban yang saya terima masih sama.

Yang menghalang kita untuk berbuat sesuatu ialah kerana halangan 'takut'.

Takut kepada siapa? takut kepada orang lain.
Takut kepada tanggapan orang lain yang dijangkakan akan memberi tanggapan negatif kepada diri kita.

Ya saya cuba untuk lari dari itu dan membina keberanian!