Wednesday 27 June 2007

Biar orang kita ada pilihan, menyedari tidak hanya Inggeris yang bagus

Kesedaran orang kita terhadap terdapatnya bangsa-bangsa lain di dunia yang lebih hebat, lebih baik dari orang Inggeris, sistem Inggeris boleh dikatakan agak rendah. Kerendahan kesedaran itu mungkin kerana kita pernah di jajah oleh mereka dan semua sistem yang kita ada hampir keseluruhannya adalah cedukan dari sistem Inggeris.

Tetapi usaha menghantar pelajar-pelajar belajar ke merata dunia selain dari ke UK dan US sebenarnya telah dibuat lama juga. Contohnya ke Jepun, telah lama program penghantaran pelajar-pelajar ke Jepun telah dibuat. Tetapi kita yang berada di luar lingkaran mereka yang lepasan universiti Jepun tidak sangat menyedari kehebatan orang Jepun dan sistem Jepun dari mereka itu.

Pengetahuan kita tentang kekuatan Jepun lebih disebabkan oleh barangan2 yang ada di pasaran baik kenderaan atau alatan elektronik yang menguasai pasaran. Tetapi cerita tentang sistem dan nilai orang Jepun tidak sangat kita dapat dari menggunakan kenderaan Jepun dan alatan2 elektrik dari Jepun. Malah ramainya lulusan dari Jepun tidak sangat terserlah pada pandangan umum, walaupun mereka ramai dan hebat-hebat.

Orang-orang di kampung tidak sangat menyedari cerita kehebatan orang Jepun dari lulusan Jepun, tetapi yang masih melekat dalam fikiran mereka ialah keganasan askar Jepun dahulu dan cerita kamikazi.

Begitu juga dengan lulusan yang semakin ramai dari negara Eropah lain seperti Peranchis, Jerman ataupun Russia. Cerita dari mereka tentang kekuatan teknologi, kebaikan sistem pentadbiran, kekuatan semangat dari negara-negara ini tidak terserlah sebagaimana melekatnya cara dan sistem Inggeris dalam minda kita.

Untuk membolehkan masyarakat umum ataupun orang-orang yang mentadbir boleh mengetahui dan menyedari bahawa masih terlalu banyak negara lain yang jauh lebih baik dari apa yang ada di UK atau di US, maka cerita tentang kebagusan bangsa lain selain Inggeris dan kebagusan bangsa sendiri mestilah sentiasa di hebahkan.

Tetapi hebahan dan cerita-cerita itu nampaknya masih tidak merata. Malah usaha untuk meratakan cerita baik dari bangsa lain selain Inggeris tidak sangat dibuat oleh media kerajaan. Yang sangat ditumpukan ialah cerita-cerita drama kisah konflik keluarga yang tidak sudah2 dan kisah-kisah cinta yang sangat tertonjol dari siaran-siaran TV kita.

Mungkin peranan media alternatif baik dari tulisan di blog atau video/TV rakaman sendiri perlu dibuat supaya bangsa kita mempunyai pilihan untuk menilai apa kebaikan bangsa lain yang patut dicontohi dan keburukan yang patut kita jauhi. Disamping menunjukkan banyaknya nilai baik yang sudah kita miliki yang tidak perlu lagi kita mengikut orang lain.

Ia mungkin seperti kehebatan bomoh di tepi rumah kita tidak kita sedari, sebaliknya berbondong orang luar datang berkunjung mendapatkan bomoh di tepi rumah kita itu.
Kekautan kejujuran, keikhlasan, kuat bekerja bangsa kita tidak tertonjol, tetapi curi tulang dan kemalasan bangsa lain yang hendak kita ikut!

2 comments:

Najwa Aiman said...

Barangkali tu satu kesilapan Dasar Pandang Ke Timur. Saya fikir sejajar dengan dasar PKT tu, seharusnya generasi kita juga dipersembahkan dengan pendidikan sejarah ketamadunan bangsa timur, terutamanya Jepun, berfokus tentang bagaimana masyarakat Jepun mendapat budaya yang mereka ada itu daripada usaha-usaha dan kaedah pemerintahan yang diamalkan di zaman empayar Tokugawa suatu masa dulu. Biar kita tau apakah 'Samurai'. Biar kita tahu apakah 'Ninja'. Biar kita kenal bahawa disiplin Jepun yang dirintis oleh Tokugawa itu menggunakan kaedah yang amat fitrah dengan diri insan.

denai said...

najwa aiman,

pada tanggapan saya kekuatan masyarakat Jepun berpegang pada identiti, sikap dan pegangan mereka tidak tidak diperolehi oleh kita. Keberanian mereka membina bangsa mereka yang kalah perang dahulu dan bangkit sebagai kuasa ekonomi dunia tidak dilihat oleh kita. Kita menyedari hampir semua barangan mereka menguasai pasaran. Tetapi kekuatan jiwa-jiwa yang membina barangan-barangan tersebut tidak kita mahu selami. Atau sengaja di pendamkan supaya bangsa yang tidak cerdik mudah di perbodohkan.