Tuesday 28 August 2007

Awak pandai sangat bercakap, awak buatlah!

Dalam satu perbincangan dengan rakan-rakan di satu majlis yang membincangkan suatu perkara, masing-masing seperti takut-takut untuk mengeluarkan pendapat. Rasa takut itu bukan kerana kebimbangan pendapat itu salah atau tidak, tetapi dibimbangkan akan disuruh untuk membuat kerja atas perkara yang telah disarankannya tadi.

Ini kerana setelah sesuatu perbincangan itu tamat, rumusan selepas perbincangan itu ialah apa yang mesti dibuat selepas itu dan siapa yang harus bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

Yang sering mendapat perhatian ialah siapa yang paling banyak bercakap dan memberikan pelbagai cadangan semasa perbincangan tadi. Ada pula yang mula menggunakan dalil bahawa Tuhan amat membenci mereka yang banyak bercakap tetapi tidak membuatnya.

Apabila tiba kepada siapa yang akan mengetuai aktiviti tindakan selanjutnya, masing-masing mula menuding jari kepada sipolan yang paling aktif memberikan cadangan.
Kerana takutkan dituduh hanya pandai bercakap tetapi tidak tahu membuat, maka perbincangan yang baik dan mengeluarkan pendapat yang bernas jadi terbantut.

Masing-masing mula mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan tidak mahu kelihatan terlalu aktif memberikan pendapat takut nanti dibebankan dengan tugas.

Cara berfikir dan bertindak yang sering sangat kita amalkan ini membebankan orang yang kreatif dengan tugasan semata-mata kerana menjadi balasan kerana terlalu pandai bercakap seharusnya ditukar.

Semasa perbincangan dan percambahan idea, segarkanlah dan berikan semua pihak bebas mengeluarkan pendapat. Biar keluar semua idea-idea yang bernas. Biar tumbuh pelbagai idea yang baik. Idea yang baik datang dari pelbagai pihak. Jangan disekat pengeluaran idea yang baik dengan 'bentuk balasan padan muka kerana banyak bercakap jadi kene buat kerja'.

Untuk melahirakan rasa bebas menegeluarkan idea yang baik dan berkembang dari awal lagi mesti di sarankan bahawa perbincangan ini adalah menggalakkan kelahiran idea-idea yang hebat. Ia mesti disebut di awal-awal lagi dan diulang-ulangkan.

Selaps itu semua idea yang baik itu barulah dikumpulkan. Dan ketika bagaimana ia harus di laksanakan barulah mengkaji bagaimana perlaksanaan yang paling baik untuk ia dapat dibuat.

Malah sering berlaku pihak yang asalnya bertanggungjawab dengan tugasan itu tidak mempunyai idea dan pendapat yang baik, tetapi pendapat yang baik mungkin boleh datang dari pihak luar yang tidak dipertanggungjawabkan untuk memikul tugasan tersebut.

Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab mengucapkan terima kasih kepada idea yang bernas, bukan mengeluarkan ancaman, 'awak pandai sangat bercakap, awak buatlah'.

No comments: