Sunday 12 August 2007

Kenangan, kekuatan dan perjuangan

Ketika saya menerima email dari rakan-rakan lama tentang berita seorang dari rakan sekelas dahulu kini pulang sekejap ke Malaysia bersama-sama anaknya setelah berada Amerika Syarikat selama 25 tahun, saya termenung sebentar. Difahamkan beliau kini menetap di New York.

Apa yang saya boleh ingatkan kembali hanya sekadar gambaran ketika persekolahan dahulu yang pada masa itu tidak kita jangka apa yang akan berlaku selepas melalui zaman persekolahan tersebut.

Setelah zaman persekolahan menengah itu ramai dari rakan-rakan yang tidak pernah ditemui sehingga kini, termasuklah beliau ini.

Dalam pada itu terdapat seorang lagi rakan sekelas yang juga telah berkhidmat di luar negara lebih dari 18 tahun dan paling lama beliau menetap di Kaherah dan kini berpindah ke Reading, England. Saya sempat bertemu beliau sekejap di Ampang pada pertengahan tahun lepas.

Selepas mendapat email itu tadi, apa yang saya terfikir ialah bagaimana kuatnya perasaan rakan saya itu untuk membuat keputusan bermastautin di negara orang, sanggup meninggalkan persekitaran lama, cara hidup dan budaya tempat kita dibesarkan dan bersedia berada dalam persekitaran baru yang berubah seluruhnya.

Dalam keadaan ramai dari kenalan baru saya, orang Melayu yang baru dua tiga tahun berada di negara orang akan mudah menyebut, 'sudah tidak tahan untuk balik kampung', 'sudah teringatkan rumah', atau ada yang menyebut 'hujan emas di negeri orang, baik lagi hujan batu di negara sendiri', tetapi rupanya masih terdapat rakan saya sendiri yang mungkin selesa dengan 'hujan emas di negari orang'.
Sedang saya sendiri belum betul-betul terjumpa 'emas' itu.

Dalam aspek yang lain, dalam tradisi masyarakat Inggeris dan di tekankan di sekolah, anak-anak akan meminta dibacakan buku kepada mereka ketika sebelum tidur (saya tidak mengetahui susur galur tradisi mereka itu, sila beritahu saya bila ianya bermula).

Jika mereka suka membaca, mereka mungkin juga membaca di masa lain. Jika tidak membaca di masa lain, sewaktu hendak tidur, mereka akan meminta dibacakan buku cerita kepada mereka. Atau bagi yang telah besar, mereka pastinya membaca sendiri.

Di waktu itu jugalah kita cuba membacakan buku-buku cerita tentang Islam, sahabat-sahabat Nabi atau cerita-cerita dari Al Quran bagi membolehkan mereka mendapat pengetahuan juga tentang Islam. Jika tidak dibuat begitu, buku-buku cerita lainlah yang pasti dibaca oleh mereka.

Setelah membacakan buku-buku cerita tentang kisah-kisah dari Al Quran itu, maka baru keluar persoalan, apakah buku-buku sebegini kandungannya terdapat juga dalam Bahasa Melayu di negara kita.

Pada hemat saya, mungkin banyak buku-buku sebegitu dalam pasaran di tempat kita dalam bahasa kita. Cuma saya tidak tahu sejauh mana kesedaran dan keghairahan masyarakat kita untuk membelinya dan menjadikannya budaya membaca di kalangan anak-anak.

Setakad yang saya sedar, yang sangat menonjol ialah keghairahan untuk menghantar anak-anak ke tiusyen bagi mempastikan anak-anak skor dalam peperiksaan (juga tolong betulkan maklumat ini, jika saya salah)

Yang ada di pasaran sekarang mungkin buku-buku yang ditulis oleh penulis-penulis baru dan diterbitkan oleh penerbit baru. Buku-buku yang pernah di terbitkan lama dahulu mungkin telah tiada dijual di pasaran. Hanya mungkin ada di rak-rak perpustakaan lama sahaja. Atau mungkin disimpan oleh sesiapa yang pernah membelinya dahulu sahaja.

Penerbit mungkin selepas terbitan pertama tidak lagi mengulang cetak kerana mungkin permintaan sudah tidak ada, atau penerbit itupun telah tiada lagi kerana tidak mampu bertahan.

Yang saya terdorong dari isu ini ialah perlunya dalam dunia internet hari ini, adanya usaha untuk menulis semula kandungan buku-buku tersebut dalam format 'dokumen', atau di scan dalam format 'pdf' supaya dengan mudah bahan-bahan tersebut boleh diperolehi dalam internet di mana-mana website.

Supaya pengguna internet dan pengunjung-pengunjung website boleh bila-bila mendapat bahan-bahan dalam Bahasa Melayu dengan mudah.

Kerja membekalkan bahan-bahan ilmu untuk kegunaan di semua peringkat dalam Bahasa Melayu di website-website adalah perjuangan besar yang mesti dibuat untuk melawan dakyah-dakyah palsu bahawa Bahasa Melayu tidak mampu bersaing dalam dunia internet hari ini. Dan untuk menguatkan bahawa bahan tersebut diyakini betul, pastikan terdapatnya rujukan dari mana bahan tersebut diperolehi.

Jika para penerbit atau pihak yang berwajib tidak terbuat atau tidak bersedia untuk membuatnya, kita memerlukan para blogger untuk memulakan perjuangan ini.

No comments: