Tuesday 17 July 2007

Bila sedap mata memandang

Apabila berada 'terlalu' lama di sesuatu tempat sensitiviti kita terhadap kelainan tempat tersebut berbanding dengan tempat di mana kitaa berasal makin berkurangan. Jika saya berasal dari Kelantan dan telah menjadi kebiasaan memakan makanan yang agak manis atau tidak pedas tetapi apabila saya merantau ke Pulau Pinang sudah tentu masakan orang Pulau Pinang agak asing bagi saya.

Jika saya juga telah biasa dengan orang Cina di Kelantan boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa daerah Kelantan, tetapi apabila saya mendapati orang Cina di Pulau Pinang amat sukar untuk bertutur dalam bahasa Melayu ia merupakan sesuatu yang pelik bagi saya.
Begitu jugalah keadaannya di tempat lain. Tetapi jika saya telah menetap di Pulau Pinang untuk tempoh yang lama seperti telah melebihi 5 tahun, perkara yang janggal pada asalnya bagi diri saya akhirnya menjadi lazim. Masakan Penang telah menjadi biasa, orang Cina yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau sangat pelat itu sudah tidak menjadi asing lagi.

Apakah perubahan yang saya gambarkan di atas tadi adalah tanda kelunturan 'kekelantanan' saya dan berubah menjadi 'kepenangan'?. Apakah pegangan saya pada ciri-ciri tempatan yang saya pegang kukuh dahulu telah larut oleh keadaan di tempat baru, lantas menerima ciri-ciri di tempat baru sebagai 'biasa', 'tidak ada apa-apa peliknya' dan 'itulah realitinya'.
Dari perspektif yang sama, nilai-nilai Melayu, Islam dan timur yang ada dalam masyarakat kita bagi saya jauh sekali berbeza dari nilai 'Barat', 'Inggeris' dan 'moden' dalam masyarakat di London.

Berpakaian yang terdedah sana sini akan dinilai oleh masyarakat kita sebagai 'berpakaian seksi', menjolok mata dan di anggap salah oleh norma-norma kita. Walaupun pengaruh ini telah menular dalam masyarakat remaja di tempat kita, tetapi umum masih menerima ia sebagai menjolok mata, tidak beradab, salah, berdosa. Masyarakat kita tidak boleh menerima berkucupan baik di khalayak ramai atau tersorok sebagai 'biasa'. Kita akan kata itu kerja salah, walaupun ia telah terlalu banyak dilakukan oleh remaja kita dimana-mana sekarang ini. Gambar wanita yang tidak memakai baju dalam baik dalam internet, atau tv, atau filem atau majalah dan akhbar akan kita takrifkan sebagai gambar tidak senonoh.

Tetapi dalam masyarakat Barat di London, apa yang kita takrifkan sebagai salah, tidak betul itu adalah perkara biasa bagi mereka. Berkucupan di dalam bas atau mana-mana kenderaan awam di tengah khalayak ramai adalah perkara normal dan tidak rasa jangggal bagi pembuatnya. Gambar-gambar 'tidak senonoh' yang kita kata tidak betul adalah paparan biasa dalam TV, majalah atau akhbar tabloit khususnya. Ia adalah perkara biasa yang boleh dilihat hari-hari.Page 3 akhbar The Sun milik Rupert Murdoch itu adalah mukasurat khas gambar wanita tidak berbaju.

Ketika berpegang pada nilai-nilai sedia ada yang berasaskan ugama, dan budaya kita dan memasuki suasana yang berlainan untuk jangka masa yang lama, memerlukan kekuatan yang luar biasa. Keupayaan untuk lari dari perkara-perkara tersebut memerlukan 'tenaga' kerana hidup di kelilingi oleh perkara tersebut.

Anak-anak orang Melayu Islam yang membesar dalam suasana itu tentu sekali akan menerimanya sebagai lumrah kerana itulah suasananya. Yang termampu di buat oleh orang tuannya ialah memberi tahu, itu salah, itu berdosa, itu tidak betul ketika terlihat apa-apa adegan di TV, jika terlepas, atau jika ternampak dalam akhbar atau majalah, setelah cuba untuk tidak membeli akhbar2 dan majalah2 tersebut atau tidak menonton TV selepas 9.00 malam. Tetapi sukar untuk tidak pergi ke kedai buku dan muka depan majalah2 di Tesco atau Asda atau Morrison atau WH Smith tetap menunjukkan gambar-gambar tersebut.

Sejauh mana kekuatan sensitiviti orang Melayu Islam untuk berdepan dengan suasana tersebut? Walaupun anak-anak boleh bertutur bahasa Inggeris yang 'cair' dengan loghat bandar di mana mereka duduk, tetapi mereka mula suka menjerit ketika memanggil antara satau sama lain, bergurau yang 'kasar' dari segi pendapat orang Melayu kita dan terkeluar 'kata-kata carut' yang mereka sering dengar dalam perbualan dengan rakan-rakan disekolah dan meresapnya budaya Inggeris dari bahasa yang mereka gunakan itu.

Kita yang tidak melaluinya mentakrifkan, 'sedap betul duduk di England', 'boleh berjalan ke sana-sini', 'bermain salji (jika turun) pada musim sejuk', 'anak-anak boleh bertutur Inggeris dengan cair', dan pelbagai gambaran indah yang terjelma.

Kenapa keindahan, kesedapan, keseronokan yang terjelma dari mata yang memandang keadaan orang di negara orang Putih? Sedangkan mereka yang melaluinya 'tercair dengan keadaan sekeliling' atau 'berhempas pulas mencari duit dengan mencucui tandas, menjadi tukang sapu, semata-mata untuk membolehkan sewa rumah, dan bil-bil terbayar!

3 comments:

Pegawai Khalwat said...

Itu asimilasi brada.

Anonymous said...

Bang,
Sebenarnya abang nak cerita apa nih? Mimi tak faham la bang..

Mimi

Gemala Kasturi said...

TErima kasih atas sokongan anda
SF