Thursday 26 July 2007

Saya sedang menuliskan jalan cerita itu.

Bualan saya pagi tadi dengan teman sejati cukup bermakna dalam mengguriskan jalan cerita yang akan dibuat nanti. Percakapan itu terhasil setelah baru dapat merasakan apa yang akan di guriskan itu. Ilham itu terhasil setelah adanya tomakninah dalam perjalanan sekarang ini.

Tomakninah itu perlu untuk menarik nafas baru dan cuba melihat, apa sebenarnya sedang berlaku di sini. Lantas teman sejati menyebut, memang kita memerlukan tomakninah itu. Berundur ke belakang sekejap dan lihat, apa sebenarnya. Dan kemudian mengadapnya semula.

Jika tidak keserabutan itu sentiasa mengalir tanpa henti dan sehingga tidak tahu hujung pangkalnya. Ke mana hendak di letak kenyataan ini, di peringkat mana perkataan ini di sebut, apa yang menyokong perkataan tersebut dan apa hasilnya dari perkataan tersebut.

Malah saya ditanya, adakah mereka akan tanya, kenapa kenyataan itu di sebut di situ dan tidak di sini? Maka saya katakan, saya rasa mereka tidak akan tanya dan peduli kenapa sebutan itu di sebut di situ dan tidak di sini. Tidak, mereka tidak akan bertanya.

Sedangkan mereka yang bernama dua Andrew yang telah dari awal bersamapun tidak dapat menyelami dan mempersoalkan kenapa dan mengapa cakap itu di situ dan di sini, masakan pula pembaca yang mungkin membacanya dan melihatnya dalam tempoh dua tiga minggu. Tentu sekali mereka tidak pedulikan.

Yang mereka cuba fahami ialah bagaimana jalan ceritanya. Apakah jalan cerita itu menarik dibaca atau tidak. Apakah setiap jalan cerita yang telah diceritakan itu mempunyai sebab dan alasan dan mempunyai penyebab dan hasilnya. Apakah kenyataan-kenyataan sokongan yang perlu di tulis supaya jalan cerita itu cukup baik dan lancar.

Maka yang terumus dari cakap selepas minum pagi tadi itu ialah, proses penceritaan, baik proses penceritaan itu melakarkan penceritaan dari kualitatif yang sarat dengan kenyataan demi kenyataan, baik melalui grounded theory atau sekadar content analysis, atau ia proses penceritaan dari angka-angka yang terhasil dari anova, f statistik atau amos atau lisrel. Kenyataan-kenyataan dan angka-angka itu tidak sangat menjadi persoalan. Persoalan yang besar ialah jalan cerita.

Maka berilah masa untuk bercerita berkali kali dan berkali kali.

Saya sedang menuliskan jalan cerita itu. [Sila ke nota kaki]

1 comment:

denai said...

Nota kaki:

Saya pernah menyebutkan bagaimana memasyarakatkan hasil penulisan akademik agar dekat pada khalayak dan difahami orang.
Pertamanya jika saudara pernah cuba meminjam sebarang tesis di perpustakaan, anda mungkin hanya dibenarkan membaca di perpustakaan itu sahaja dan tidak dibenarkan dibawa keluar. Mungkin juga anda tidak dibenarkan membuat foto copy dari tesis tersebut.

Dari kefahaman saya, asas kepada larangan dan sekatan tersebut ialah tesis tersebut adalah kerja akademik orang lain dan anda jangan sesekali cuba untuk meniru. Seakannya jika anda membawa pulang atau membuat foto copy, anda akan mudah menyalin semula tesis yang telahg lulus itu dan anda dengan mudah lulus percuma tanpa perlu susah-susah berfikir.

Pada hemat saya asas fahaman inilah yang membuatkan kerja-kerja akademik di kalangan masyarakat kita sangat jauh dari khalayak dan hanya banyak berhabuk dan berdebu dalam rak-rak di perpustakaan. Sudahlah kerja akademiknya itu mungkin sukar difahami ditambah pula dijauhkan dari orang lain untuk membaca dan memahaminya.

Aliran mazhab itu mesti dihapuskan.

Aliran baru yang mesti kita pegang ialah, dekatkan karya, tesis dan penyelidikan anda kepada seberapa ramai. Ajarkan khalayak apa yang anda kaji dan tulis. Beritahu khalayak perkara baru itu supaya khalayak memahami dan mengikuti dan mengamalkannya.

Jika anda tidak beritahu dan ajarkan, siapa lagi yang tahu yang akan mengajarkannya, jika tidak anda. Itu kerja anda. Itu ilmu dan penyelidikan, kajian dan penulisan anda. Andalah yang tahu di mana kekuatan dan kelebihannya dan apa yang patut diberitahu dan diajarkan. Siapa lagi.

Jika ia tidak dapat lagi dijadikan buku, kerana buku memerlukan penerbit yang berasa ia menguntungkan jika diterbitkan, maka anda perlu menempatkan hasil tulisan itu di mana-mana yang boleh dibaca orang lain.

Buatkan abstraknya atau sinopsisnya atau sebahagian dari babnya di berikan kepada umum supaya khalayk boleh membacanya dan mempelajarinya.

Tukarkan format dokumen itu kepada format pdf. Jika anda belum tahu, cari dari google dimana boleh mendapat khidmat membuat pdf segera dan percuma. Kemudian letakkan tulisan tersebut secara online contohnya di geocities yang anda boleh dapat secara percuma jika anda mempunyai email yahoo.

Buka email yahoo anda dahulu. kemudian balik ke muka depan yahoo dan klik geocities. Kemudian klik 'manage'dan Klik 'file manager'. Kemudian klik 'open file manager'. Di situ anda telah boleh untuk upload pdf file kertas anda tadi.

Bila ini telah dibuat, maka tulisan anda telah boleh dibaca orang lain. Beritahu sahaja urlnya dan sesiapa mula boleh membaca dan membuat rujukan padanya.

Yang penting: tuliskan di atas kertas tulisan itu atau di mana-mana bahagian, bagaimana menulis rujukan kepada kertas anda itu. Lihatlah apa kategori tulisan anda itu.

Jika ia satu bab dari buku, tuliskan bagaimana menulis rujukan dari satu bab dari sebuah buku.

Jika ia tesis, bagaimana rujukan kepada tesis di tulis.

Jika ia kertas yang pernah dibentang di mana-mana majlis, tidak kiralah apa majlispun, maka tuliskan bagaimana rujukan kepada kertas yang telah dibentangkan di mana-mana majlis.

Majlis, ya majlis. Baik majlis di sekolah, di dewan makan, di majlis makan malam, atau mesyuarat atau majlis perjumpaan tahuan atau majlis di rumah Pena atau apa-apa saja majlis.

Jangan anggap ia hanya layak di majlis persidangan antarabangsa saja. Tidak!

Kita namakan majlis kita itu. Tuliskan tarikh dan di mana majlis itu. Cukup.

Kita yang membuatnya.

Akhirnya, apapun ia dibuat, dikhabar, diberitahu, diajar agar mendapat ganjaran dan ditulis sebagai amal baik. Betulkan niat, ia bukan untuk mendapat sanjungan makhluk.

Walapun mungkin ada makhluk Melayu yang menyebut begitu.