Friday 6 July 2007

Orio al Serio, Bergamo

Tempahan kenderaan yang akan dinaiki telah dibatalkan di saat akhir 8 jam sebelum penerbangan ke lapangan terbang Orio al Serio, Bergamo, Milan bermula. Maklumat email saat akhir itu dianggap tidak dibaca sahaja. Setiba di sana, cuaca cerah dan panas pagi sudah terik. Memasuki negara Italy dengan menggunakan passport warna merah itu memisahkan laluan dari mereka yang lainnya. Yang melalui laluan yang serupa tidak ramai, tetapi pertanyaan dari pegawai yang memeriksa pasport hanya bertanya, mana satu nama keluarga.

Pertanyaan lain tidak ada. Kenapa datang, hendak ke mana dan mana tiket pulang juga tidak ditanya. Tetapi masing-masing mesti beratur dengan memegang pasport masing-masing, tidak kira kecil atau besar, sendiri atau bekeluarga.

Lapangan terbang ini tidak sebesar mana. Ia hanya setingkat, tidak seperti Subang, tetapi lebih besar dari Senai, jauh lebih kecil dari KLIA. Di ruang ketibaan telah dipenuhi orang baik yang menunggu atau yang sama-sama sampai. Kapal terbang yang tiba tidak banyak, kerana ia lapangan terbang ke tiga di sekitar Milan walaupun jarak bandar Bergamo dan Milan sejam perjalanan.

Mencari mana satu syarikat tempahan kereta menjadi satu masalah juga. Ini kerana syarikat yang ditempah bernama lain, sedang syarikat di lapangan terbang itu adalah syarikat yang lain. Namun akhirnya ditemui juga. Rangkaian pelbagai syarikat yang ada telah menjalin usahasama supaya mendapat pelanggan yang lebih ramai dari pelbagai negara.

Walaupun hampir semua bertutur bahasa Italy, bahasa kebangsaan mereka, tetapi ada yang bersedia untuk menggunakan bahasa Inggeris, walaupun pertuturan mereka sekadar melepaskan untuk boleh difahami. Mendengar mereka bertutur bahasa Inggeris sebegitu untuk bekerja di syarikat tempahan kenderaan di lapangan terbang antarabangsa, jika mereka itu orang Melayu yang datang temuduga untuk jawatan yang serupa di Kuala Lumpur, awal-awal lagi tentunya tidak berjaya. Pegawai yang menemuduga pasti akan berkata, awak tidak dapat kerja ini kerana tidak boleh bertutur bahasa Inggeris dengan lancar kerana kerja ini akan berhadapan dengan pelancung asing. Tetapi ini di Bergamo, Italy bukan Sec 14, PJ, KL.

Walaupun kenderaan yang di tempah tidak mereka sediakan kerana tiadanya kenderaan yang dikehendaki itu, tetapi beliau sedia untuk bertanya pada syarikat lain yang terdapat di situ. Yang ada hanya satu syarikat sahaja, tetapi harganya jauh lebih mahal. Untuk mendapatkan dari syarikat lain di Bergamo, atau di Milan belum pasti boleh diperolehi, dan tentunya akan memakan masa lama. Sedang perjalanan paling kurang 4 jam mengikut catitan tom tom ke tempat yang akan di tuju.

1 comment:

Anonymous said...

Salam kembali.

Salam dari Milan?

Ceritalah lagi.