Wednesday 1 August 2007

Benarkah kita lain dan kuat?

Di awal minggu yang lalu, seorang lagi penyelidik yang juga telah menamatkan pengajiannya memberitahu saya bahawa dia akan menetap di Kuala Lumpur. Beliau berasal dari Korea Selatan. Dia akan menghadiri satu persidangan di Kuala Lumpur pada bulan lapan ini. Beliau akan bertugas di Johor Bahru tetapi keluarganya akan berada di Kuala Lumpur kerana katanya ribuan rakyat Korea tinggal di Kuala Lumpur di sekitar Ampang. Katanya, ini bagi membolehkan anak-anaknya boleh bertutur bahasa Korea di samping bahasa Inggeris dan mungkin Melayu.

Saya agak terkejut bila dia menyatakan ada ribuan rakyat Korea menetap di Kuala Lumpur. Saya tidak menyedari angka-angka itu. Di samping timbul persoalan, rupanya ramai bangsa lain di dunia melihat kekuatan-kekuatan dan kelebihan-kelebihan yang ada di tempat kita.

Dalam pertemuan yang lain, di waktu lain dengan rakan yang lain, saya cuba berhujah untuk menyebutkan nilai-nilai sediaada yang dimiliki oleh bangsa Melayu tetapi tidak dianggap oleh kita sebagai perkara baik dan perlu di pertahankan.

Kita orang Melayu mengamalkannya setiap hari tanpa sedar bahawa itu adalah kekuatan kita. Yang kita sangat sedar ialah kelemahan-kelemahan yang ada pada diri kita dan kita sebutkan di mana-mana sisi lemahnya diri kita.

Jika kita sering diajak menaiki kereta kawan ke tempat kerja hampir setiap hari, maka perasaan rasa tidak patutnya jika kita tidak pula mengajaknya menaiki kereta kita pula. Sama juga keadaannya bila sering dibelanja makan dan minum, mendapat hadiah dari rakan, datang ke rumah dan pelbagai lagi bentuk bantuan yang kita terima dari rakan. Yang secara semulajadi lahir dalam diri kita, berdasarkan pendidikan yang kita terima, kita akan mengajak semula dan membalas semula perkara-perkara yang kita terima itu.
Tidak semua bangsa mempunyai perasaan itu, baik untuk mudah memberi kepada pihak lain di peringkat awal dan mudah untuk membalas kemudiannya.

Jika kita dimarahi di pejabat oleh ketua kita dengan teruk kerana perkara yang kecil, rasa tidak puas hati kepada ketua itu berlanjutan hingga keluar pejabat. Lebih-lebih lagi jika dimarahi tanpa sebab, atau kerana kesalahan orang lain kita pula yang terkena sama.
Kata-kata, boss itu macam bagus sangat, apa dia ingat company ini bapak dia punya dan pelbagai kata kesat mudah terkeluar dalam cakap-cakap di belakangnya.

Walaupun kaedah memberitahu kesilapan dan memarahi pekerja dan orang bawahan secara berdepan itu di amalkan oleh banyak bangsa lain dan popular, tetapi bangsa kita mempunyai cara lain menyelesaikan masalah itu.

Kita tidak sukakan konflik dan suasana marah dan dimarahi. Setiap suasana akan cuba dipastikan sentiasa harmoni.

Kita tidak perlu mengikut bangsa lain, semata-mata kita berasa ia berkesan dan boleh menguntungkan wang ringgit atau meningkatkan produktiviti. Kononnya berkesan kerana maklumat sampai secara terus, kononnya menguntungkan wang ringgit sebab tuntutan dan bayaran dapat diterima kerana ugutan dan kata-kata kasar akan menjadikan mereka membayar dengan apa carapun, kononnya meningkatkan produktiviti kerana pekerja takut dan gerun.

Tetapi bangsa kita, pekerja kita dan orang di bawah kita serik, berdendam, tidak sedap bekerja dan mencari peluang untuk cari kerja lain.

Jangka panjangnya kita rugi, company rugi kerana kita tidak dapat melahirkan orang bawah yang setia, pekerja yang setia dan mereka yang sentiasa gembira dalam bekerja.

Benarkah kita ini lain?

5 comments:

zizie ali said...

orang kita, kalau bangsa lain maki kat mereka tak apa. jgn bangsa sendiri yg maki. pantang tok nenek. dendam sampai tujuh keturunan.

Bunga Rampai said...

Salam,

Ada kekuatan pada tulisan ini yang menampakkan kelainan diri bangsa Melayu yang wajar diangkat.

Saya hayati, renung, dan fikir. Terima kasih untuk itu.

Anonymous said...

Sdr Denai,
salam perantauan.

terima kasih kerana singgah di rumah saya.

Sejarah negara telah membuktikan kekuatan pelbagai orang Melayu. Ambil sahaja kekuatan berfikiran jauh...

Tidak banyak negara sebaya yang membina kapasiti menggunakan kekuatan modal yang dianugerahi Tuhan.

Dalam setiap kekuatan, pastinya ada kelemahan yang mengiringi. Itu sunatullah...

Anonymous said...

kita semua sama di sisiNya.

denai said...

za,

Tolak ansur kepada bangsa lain sangat tinggi, tetapi sangat mudah terasa dengan bangsa sendiri.

br,

Oleh kerana orang kita suka melihat benda negatif, sebaliknya susah untuk memuji benda-benda baik, sangat wajar benda-benda baik yang bangsa kita ada sering kita sebut-sebutkan. Biar kita sedar banyak benda baik yang kita ada dan tidak payah terlalu kagum dengan bangsa Inggeris.

S2,

Kekuatan yang kita ada terlalu mudah kita sebut 'tradisional yang mudah kita kaitkan dengan erti lama, tidak moden dan macam tidak maju', atau kekampungan, atau juga jaguh kampung.

Kita dengan mudah menerima moden, antarabangsa, sebagai bagus, hebat dan baik.

Akibatnya kekuatan yang kita ada itu tidak kita pandang (sebab tradisionalnya, sebab kekampungannya) kerana kita masih berkiblat kepada moden dan antarabangsa itu.

Sedangkan orang-orang 'moden' dan 'antarabangsa' di negara-negara Barat sedang tercari-cari perkara-perkara kuat yang sedia ada pada kita dan bagaimana membinanya.

Tetapi kita pula sibuk hendak mengikut dia, hendakkan modennya, hendakkan antabangsanya.

Jika kita kuat berpegang pada cara kita dan kerangka kita, mereka yang 'moden' itu akan mencari kita dan mengikut kita. Dengan sendirinya kita dirujuk orang.

nbb;

Yang Maha Kuasa meletakkan bangsa yang berilmu dan bertaqwa melebihi dari yang lain.